top of page

5 Teras Jaringan Pembelajaran Profesional

Great teachers are learners.

- Tracey Tokuhama-Espinosa, 2021


Perkongsian amalan melalui strategi Jaringan Pembelajaran Profesional (Professional Learning Network (PLN)) berpotensi membuka ruang dan peluang baharu kepada individu-individu atau kumpulan guru melalui pembelajaran secara kolaboratif dengan pihak lain yang berada di luar komuniti seharian, bertujuan untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran murid-murid di sekolah masing-masing. Beberapa faktor menjadi teras perlaksanaan PLN iaitu fokus, kolaborasi berterusan, inkuiri reflektif, pembelajaran individu dan kumpulan, dan kepimpinan (Rajah 1).



Teras pertama pelaksanaan PLN ialah fokus. Fokus merujuk kepada kewujudan matlamat bersama yang dikongsikan dalam kalangan guru selari misi sekolah masing-masing. Dalam konteks PLN, fokus terkait dengan wujudnya perkongsian matlamat (shared of sense of purpose) dalam kalangan individu ahli (daripada sekolah atau organisasi berbeza) dan bagaimana ini sesuai dengan tujuan khusus PLN. Matlamat penyertaan yang ditetapkan oleh sekolah dan juga matlamat individu mungkin mempengaruhi matlamat dikongsi bersama ini.


Sebagai contoh, salah satu fokus PLN adalah menyokong pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). Guru yang terlibat daripada sekolah yang berbeza mempunyai sebab atau alasan yang berbeza untuk terlibat dalam PLN. Mungkin ingin mendapat idea-idea praktikal untuk melaksanakan PBD atau mendapatkan maklum balas terhadap amalan tertentu dalam melaksanakan PBD


Teras kedua merupakan yang kerap dipetik dalam literatur iaitu kolaborasi. Kolaborasi dalam PLN berlaku secara berterusan, dan menjangkau sekadar saling membantu atau menyokong. Kolaborasi berterusan mewujudkan kerjasama bermakna memerlukan peserta bukan sahaja bertukar idea, tetapi turut berkongsi amalan pedagogi dan membincangkan kepercayaan asas yang mendorong pengajaran mereka. Kolaboorasi yang bejaya memerlukan penyertaan yang aktif dan berterusan. Cabaran bagi PLN adalah bagaimana peserta dapat secara elektif mengarap manfaat semaksimanya dengan mempunyai akses kepada pelbagai pengetahuan, kemahiran, pengalaman, kepercayaan dan kepakaran yang terdapat dalam jaringan pembelajaran.


Teras ketiga adalah inkuiri reflektif yang merujuk kepada perbualan peserta tentang masalah pendidikan yang serius. Peserta secara aktif dan kolektif melakukan inkuiri terhadap rutin pengajaran yang tidak berkesan, terbuka dan berlapang dada untuk mengakui dan bertindak balas terhadap berbezaan dan konflik. Inkuiri pembelajaran profesional bertujuan membantu peserta memahami pelbagai bentuk bukti untuk mendorong perubahan sebenarr dalam pembelajaran murid.


Teras keempat adalah pembelajaran berkumpulan dan individu. Pembelajaran individu dan kumpulan saling menyokong dan melengkapi. Mempunyai anggota individu dengan pelbagai latar belakang mungkin menjadi cabaran atau dorongan apabila terdapat ahli-ahli menunjukkan kemajuan yang lebih dalam bidang fokus dan lebih bermotivasi meluangkan masa untuk aktiviti PLN. Pada masa yang sama, variasi latar belakang ahli menjadi kelebihan sekiranya perspektif yang berbeza dapat memberikan input untuk perbincangan dan refleksi yang membolehkan semua peserta belajar.


Sementara teras kelima adalah kepimpinan. Sama ada pemimpin formal atau tidak formal di sekolah dan PLN yang berperanan penting merangsang fokus, memberi sokongan intelektual dan instrumental, memantau perkembangan dan menyebarkan maklumat. Lebih penting lagi adalah sokongan dari segi peruntukan masa dan resos kepada guru yang terlibat.


215 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Ingatan adalah Sisa Pemikiran

Dikongsikan artikel “Ask the Cognitive Scientist: Why Do Students Remember Everything That's on Television and Forget Everything I Say?“ tulisan Daniel T. Willingham. Beliau adalah seorang profesor ps

bottom of page