top of page

CONTEXTUAL LEADERSHIP for MALAYSIAN SCHOOL LEADERS

Updated: 20 Dis 2022

1. Saya teruja selepas membaca artikel ilmiah bertajuk DEVELOPMENT AND VALIDATION OF CONTEXTUAL LEADERSHIP INSTRUMENT FOR PRINCIPALS IN MALAYSIAN SCHOOL CONTEXT (MyCLIPS) – (https://doi.org/10.1080/15700763.2021.1971259). Tahniah dan terima kasih kepada Cikgu Suhaili Mohd Yusof kerana sudi mengongsikan artikel tersebut.


2. Keterujaan saya itu berpunca dari dua sebab. Pertama, artikel ini mengingatkan saya kembali kepada sebuah buku yang saya beli pada 5 April 2006 apabila membuat lawatan kerja ke Institute of Education, University of London. Buku tulisan John MacBeath – The Leadership File: Twenty-Five Definitions of Leadership with Activities Exploring Their Relevance to School Practice. Buku ini banyak membantu saya memahami model-model kepimpinan pendidikan semasa berkhidmat di Institut Aminuddin Baki.


3. Menurut MacBeath “Leadership. It is a term full of ambiguity and a range of interpretations. It is a humpty dumpty word that can mean ‘just what we want it to mean’ (Humpty Dumpty quoted in Alice in Wonderland)”. Oleh sebab itu kata MacBeath, Phillips Hallinger yang telah mengkaji kepimpinan selama tiga dekad menyebut “Leadership models in education are subject to the same faddism that is apparent in other areas of education. Today’s favourite brand is soon replaced by another.”


4. Walau bagaimanapun saya tertarik dengan artikel di atas kerana salah satu dimensi mustahak yang perlu ada dalam Contextual Leadership ialah CONTEXTUAL INTELLIGENCE. Saya juga berpendapat Kecerdasan Kontekstual semakin relevan dan diperlukan. Oleh itu kecerdasan ini perlu digilap oleh pemimpin pendidikan untuk mengelak mereka terperangkap dengan pendekatan pengurusan pendidikan One-Size-Fits-All.


5. Punca keterujaan saya yang kedua ialah kerana artikel ini memperkenalkan INSTRUMEN yang telah dibangunkan dan ditentusahkan, sekali gus boleh diguna pakai dalam pembangunan pemimpin pendidikan di Malaysia. Kita mempunyai banyak tesis sarjana dan kedoktoran pendidikan yang dihasilkan dari institusi pengajian tinggi di Malaysia, membantu mengembang korpus PENGETAHUAN pendidikan tetapi tidak banyak diterjemahkan dalam membantu korpus PENGALAMAN praktikal di sekolah. Saya berpendapat MyCLIPS berpotensi untuk membantu membangunkan kompetensi pemimpin sekolah di Malaysia.


6. Saya juga mencadangkan supaya Institut Aminuddin Baki memanfaatkan instrumen tersebut seperti mana IAB mengguna pakai Instrumen KOMPAS. (Pada tahun 2008 ketika berkhidmat di IAB saya telah mengetuai sepasukan penyelidik membangunkan Instrumen atas talian KOMPAS – Kompetensi Pemimpin Sekolah yang telah diguna pakai sebagai alat Analisis Keperluan Latihan dan pembangunan pemimpin sekolah di IAB. Pada 2010 hasil penyelidikan KOMPAS ini telah mendapat Anugerah JASPER - Anugerah yang diwujudkan sejak 1990 yang diberikan oleh kerajaan Kanada dengan kerjasama Majlis Pertubuhan Menteri-menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMO) kepada penyelidikan berkaitan pendidikan yang dianggap cemerlang.)


7. InsyaAllah dalam masa terdekat ini kami akan menjemput Cikgu Suhaili Mohd Yusof - Pensyarah IPG Kampus Sultan Mizan untuk memperkenalkan dan membincangkan MyCLIPS dalam salah satu siri baru CONNECTING-DOTS LEARNING iaitu CDL MINDS-ON SESSION ONLINE. Nantikan!


bottom of page