top of page

PERUBAHAN PENDIDIKAN – HIERARKI ATAU JARINGAN?

Updated: 20 Dis 2022

1. Menurut Seymour Sarason “the history of educational reform is replete with failure and disappointment in respect to achieving intended goals and implementing new ideas.”


2. Secara umum pula pakar dan pengamal pendidikan, konsensus mengakui bahawa perubahan pendidikan yang signifikan tidak dapat dicapai dengan proses linear yang berhierarki. Apatah lagi jika proses itu ialah pendekatan atas-bawah yang berorientasikan mandat dan cenderung terikat dengan ‘resepi khusus untuk semua’. PENDEKATAN HIERARKI dalam perubahan pendidikan tidak lagi dapat menyediakan alat dan kerangka konseptual yang mencukupi untuk bertindak balas terhadap keperluan multidimensi dan persekitaran yang pesat dan pantas.


3. Oleh itu pendekatan baharu perubahan pendidikan yang muncul mulai menggunakan konsep dan idea yang berasal dari “sciences of chaos and complexity “. Ciri utamanya ialah pendekatan sistem nonlinear iaitu PENDEKATAN JARINGAN (networking) yang melihat pendidikan sebagai sistem terbuka, saling bergantung antara pelbagai komponen sistem. Semua komponen mempengaruhi proses perubahan itu sendiri. Pendekatan jaringan ini lebih responsif kerana setiap komponen ada pengetahuan dan pengalaman pembelajaran yang mampu menghasilkan resepi dan model yang sesuai dengan keperluan masing-masing. Apa yang diperlukan ialah PERKONGSIAN pengetahuan dan pengalaman pembelajaran, sama ada yang berjaya ataupun gagal dalam menyelesaikan keperluan masing-masing.


4. Pada ketika ini kita semua maklum cabaran besar menangani kesan pandemik terhadap pendidikan ialah menggerakkan perubahan pendidikan dengan pantas dan menyeluruh. Oleh itu saya berpendapat sudah tiba masanya perubahan pendidikan di Malaysia memanafaatkan pendekatan jaringan untuk bertindak balas terhadap keperluan tersebut . . . Tunggu sekejap! Ada lagi cabaran yang lebih besar.


5. Perubahan dalam sistem pendidikan kita sudah terbiasa dan bergantung dengan pendekatan hierarki. Pelaksanaan perubahan itu pula biasanya dikawal dengan dua parameter utama ‘mandate’ dan ‘prescription’. Saya berpendapat kembar parameter mandat-preskripsi inilah yang telah mencorakkan ‘reasoning and psyche’ penggubal dan pelaksana di semua peringkat apabila melaksanakan perubahan pendidikan. Tanpa disedari ‘reasoning and psyche’ tersebut diwariskan daripada satu generasi kepada generasi penggubal dan pelaksana seterusnya. Kesannya ‘reasoning and psyche’ itu berakar dalam sistem pendidikan kita. Walaupun dalam perubahan pendidikan mandat dan preskripsi tidak diperlukan tetapi kita masih lagi tercari-cari mandat dan preskripsi. Keadaan inilah yang saya namakan sebagai perangkap ilusi KITARAN MANDAT-PRESKRIPSI.


6. Saya berpengalaman melakukan perubahan pendidikan dan yang paling mencabar ialah berhadapan dengan ilusi kitaran mandat-preskripsi yang hidup dalam budaya pendidikan kita. Kalau rakan-rakan pendidik kurang pasti, cuba tanya diri anda sekarang, siapakah yang patut memulakan perubahan pendidikan PENDEKATAN JARINGAN dalam sistem pendidikan kita?


7. Jawapan itu menggambarkan sejauh mana ilusi kitaran mandat-preskripsi mempengaruhi anda!

bottom of page