Naratif Baharu Persekolahan

(Makalah ini diterbitkan dalam Majalah Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa & Pustaka - Mei 2022)


1. Pandemik COVID-19 yang memeritkan kehidupan seharian dalam mendidik anak-anak telah melonjakkan kesedaran ibu bapa dan masyarakat bahawa pengalaman dalam pendidikan persekolahan konvensional tidak lagi berkesan. Anak-anak mereka memerlukan suatu pengalaman persekolahan yang berbeza kerana desakan pembelajaran masa hadapan sudah berada di dalam rumah, mereka tiada pilihan ! Suatu naratif baharu persekolahan perlu disediakan.


2. Pengalaman sedemikian dirasakan juga oleh semua sistem pendidikan negara-negara lain. Pengalaman tersebut digambarkan oleh Alma Harris (2020) dengan baik. Beliau menyebut, ”Pandemik ini telah merungkai persekolahan, tetapi ia tidak merungkai pembelajaran. Reka bentuk pendidikan persekolahan mungkin telah diganti, walaupun buat sementara waktu, tetapi pembelajaran dan pengajaran tetap diteruskan. Keadaan ini berlaku di mana-mana sahaja, di dapur, di taman, di jalan-jalan, dan di bilik tidur. Ia berlaku di setiap ruang jika terdapat sesuatu yang perlu dipersoalkan, difahami dan dipelajari. Beberapa bulan yang lalu, pembelajaran dalam talian, pembelajaran teradun, pembelajaran jarak jauh dilihat sebagai pilihan, sebagai tambahan, sebagai kemungkinan yang menarik. Sekarang mereka mentakrifkan semula pendidikan, secara global”.


3. Malah ada yang berpendapat jika sekiranya pandemik ini dianalogikan sebagai ‘ujian tekanan’ maka sistem persekolahan telah gagal dalam ujian itu. Kenapakah sistem persekolahan yang ada sekarang gagal dalam ujian tekanan tersebut? Antara kritikan utama yang dibincangkan oleh para pakar pendidikan berkisar seputar model sistem persekolahan yang digunakan oleh hampir semua negara masih lagi berasaskan model persekolahan yang dibina beratus tahun yang lalu. Tyack & Tobin (1994) menggunakan istilah 'grammar of schooling' – ‘tatabahasa persekolahan’ iaitu struktur dan peraturan biasa yang mengatur kerja buat pengajaran, masih lagi tidak berubah walaupun zaman dan keperluan telah berubah.


4. Kritikan yang keras dilontarkan oleh Yong Zhao (2020), beliau menyatakan “grammar of schooling, seperti amalan piawai organisasi dalam membahagikan masa dan ruang, mengklasifikasikan murid dan memetakkan mereka ke bilik darjah, dan memecahkan pengetahuan ke dalam mata pelajaran, adalah sangat kuat sehingga ia berterusan walaupun menghadapi banyak cabaran berulang. Ia berterusan walaupun terdapat banyak bukti dan pengakuan meluas bahawa ia sudah lapuk dan tidak memberi manfaat kepada anak-anak kita. Ia berterusan walaupun semasa krisis Covid-19 apabila murid tidak lagi menghadiri sekolah fizikal.”


5. Secara umumnya pengamal pendidikan bersetuju, pandemik ini dengan jelas mendedahkan ketidakupayaan sistem persekolahan untuk mengoptimumkan penggunaan teknologi digital, serta dapat memastikan ekuiti, kesejahteraan dan kualiti pembelajaran pelajar ditangani dengan sebaik-baiknya.


6. Meskipun begitu dalam nada yang memberikan harapan, Steven G. Huber (2021) dalam tulisan berdasarkan tinjauan dan pemerhatiannya, bertajuk 'Schooling and Education in Times of the COVID-19 Pandemic: Food for Thought and Reflection Derived From Results of the School Barometer in Germany, Austria and Switzerland', berkongsikan rumusan dapatan berikut;


• Krisis COVID-19 menimbulkan cabaran besar bagi semua pengamal dalam konteks pendidikan dan sekolah.


• Terdapat tahap penghargaan dan pengiktirafan yang tinggi oleh ibu bapa mengenai sekolah sebagai institusi dan kerja buat guru.


• Bidang pendigitalan sedang mengalami peningkatan yang besar. Pembelajaran dengan dan melalui teknologi, serta tentang teknologi, mengalami permintaan yang tinggi.


• Keperluan untuk pembelajaran jarak jauh dan pendigitalan adalah peluang untuk melakukan personalisasi dalam pengajaran dan pembelajaran.


• Konsep pembelajaran teradun (blended learning) menawarkan kelebihan untuk semua pengamal dalam menangani pandemik dalam jangka panjang dan seterusnya.


• Pembelajaran adalah lebih daripada sekadar memperoleh maklumat dan sesi mempelajari sesuatu. Ia juga mengenai motivasi dan yang paling penting pembelajaran juga mementingkan aspek emosi.


7. Sampai saat ini sekolah masih lagi dipercaya sebagai institusi yang dapat menyampaikan pendidikan. Walau bagaimanapun kritikan Yong Zhao mengingatkan bahawa reka bentuk sistem persekolahan tidak dapat dielak dari 'grammar of schooling' konvensional yang boleh membataskan pemahaman pembelajaran dan pelajar, guru dan pengajaran, dan operasi persekolahan serta sumber dan teknologi yang tersedia. Oleh itu untuk memecahkan batasan tersebut, sistem persekolahan perlu direka bentuk menggunakan ‘bahasa baharu’ untuk membangunkan naratif baharu persekolahan. Bahasa baharu generasi 'digital-native', Generasi Z dan Generasi Alfa yang membesar dalam era maklumat.


8. Sebagai contoh dalam hal ini ialah pengalaman kita memperkenalkan pembelajaran berbantukan teknologi termasuk teknologi digital di sekolah seawal tahun 1980-an. Kita bermula dengan dengan Makmal Komputer dan Kelab Komputer, disusuli dengan pembestarian sekolah melalui Sekolah Bestari sehinggalah pelaksanaan 1BestariNet. Kita terperangkap dengan 'grammar of schooling' konvensional bahawa dengan menyediakan dan melengkapkan sekolah dengan semua keperluan infrastruktur, perisian dan perkakasan teknologi akan menyebabkan perubahan dalam pengajaran-pembelajaran. Walau bagaimana pengalaman pandemik Covid-19 menafikan kebenaran 'grammar of schooling' berkenaan - pengajaran-pembelajaran tidak berubah dengan ketara.


9. Walaupun kita juga memperkenalkan ‘literasi digital’ tetapi masih dalam kerangka 'grammar of schooling' yang sama. Literasi digital diperkenal sebagai mata pelajaran dan cenderung kepada keupayaan penggunaan teknologi maklumat, suatu kecekapan yang sebenarnya mampu dikuasai dengan sendirinya oleh generasi 'digital-native'. Pada hal dalam konteks untuk memenuhi keperluan naratif baharu persekolahan, bahasa baharu 'digital native' ialah 'Digital Competence : Learn to live, Learn, and Work in the Virtual World.'


10. Kecekapan pembelajaran digital adalah lebih daripada keupayaan untuk menggunakan teknologi maklumat. Kecekapan pembelajaran digital bukan sekadar mata pelajaran, ia adalah satu set keseluruhan pengetahuan, kemahiran, keupayaan sosio-emosi, dan kebijaksanaan yang diperlukan untuk hidup, belajar dan bekerja di dunia maya.


11. Oleh itu untuk membangunkan naratif baharu persekolahan, dalam aspek utama sistem pendidikan iaitu pembelajaran dan pengetahuan, bahasa baharu 'digital-native' perlu menjawab sekurang-kurangnya tiga persoalan penting : (a) apa bentuk pengalaman pembelajaran yang disediakan yakni kurikulumnya, (b) bagaimana proses pembelajaran berlaku yakni pedagoginya, dan (iii) di mana pembelajaran berlaku yakni keluwesan ‘ruang pembelajaran’.


12. Meskipun begitu adalah penting juga untuk diingatkan bahawa perubahan kepada apa, bagaimana, dan di mana pembelajaran yang dimaksudkan, sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru diperlukan kerana berlakunya COVID-19. Naratif baharu persekolahan itu diperlukan kerana desakan untuk mencipta dunia baharu akibat Revolusi Perindustrian Ke-4. Naratif itu diperlukan kerana 'digital-native' mempunyai cara yang berbeza secara drastik untuk mengakses pengetahuan dan kepakaran. Pengalaman pandemik COVID-19 hanya memecutkan lagi desakan perubahan dengan membantu memintas keperluan fasa perubahan untuk menjawab ‘kenapa’ naratif baharu persekolahan diperlukan.


13. Sebagai rumusan perbincangan dalam konteks cabaran dan harapan di atas maka adalah wajar usaha membangunkan suatu naratif baharu persekolahan diteruskan dan dipergiatkan lagi. Naratif baharu persekolahan yang berasaskan sistem pembelajaran hibrid yang dapat memberikan murid-murid pengalaman pembelajaran bermakna supaya mereka memiliki disposisi pembelajaran yang tangkas, berinovasi dan berfokuskan pada masa hadapan.