top of page

MEMBUGAR AUTONOMI PROFESIONAL

Updated: 20 Dis 2022

1. Citra seorang guru selalu dinilai berdasarkan keberkesanan dan kecekapan mereka melaksanakan peranan dan tanggungjawab keguruan. Laporan OECD (Organisation for Economic Co-operation and Development) secara khusus menyatakan bahawa guru profesional perlu memiliki tiga ciri PROFESIONALISME berikut; pertama, mempunyai pengetahuan asas (knowledge base) tentang perihal pengajaran dan pembelajaran; kedua, AUTONOMI (PROFESIONAL) untuk membolehkan guru membuat keputusan ke atas perkara-perkara yang berkaitan dengan tugasan dan kerja buat mereka; dan ketiga, mempunyai jaringan rakan sejawat (peer networking) yang memberikan mereka peluang berkongsi maklumat dan mendapat sokongan yang diperlukan untuk mengekalkan kualiti pengajaran mereka. Justeru kehebatan guru profesional itu bergantung kepada kekuatan ketiga-tiga ciri profesionalisme tersebut.


2. Walau bagaimanapun pengalaman menunjukkan guru-guru yang berdedikasi tinggi dan konsisten dalam melaksanakan peranan mereka sebagai guru memiliki suatu ciri lain yang tidak dapat dijangkau dan digambarkan oleh ciri profesionalisme OECD. Ciri inilah yang saya namakan sebagai ciri NON PROFESIONALISME. Dalam erti kata lain kekuatan asasi non profesionalisme seorang guru yang melestarikan dedikasinya dalam dunia pendidikan penuh cabaran ini, bergantung kepada kekuatan tanggungjawab moral dalam jiwanya - kekuatan JIWA PENDIDIK.


3. Berdasarkan keyakinan terhadap perkara di atas maka dalam perkongsian ‘single loop Learning & double learning’ sebelum ini saya cuba memberikan gambaran cabaran terhadap AUTONOMI PROFESIONAL dan JIWA PENDIDIK warga guru. Saya cuba menghuraikan bagaimana dua ‘kembar orientasi’ – orientasi peperiksaan dan orientasi mandat-preskripsi telah mencorakkan secara sistemik ‘reasoning & psyche’ eko-sistem pendidikan kita. Dan tanpa disedari kita semua mewarisinya. Malangnya tanpa kita sedari juga ‘reasoning & psyche’ tersebut telah secara perlahan dan sistemik melemahkan Autonomi Profesional dan Jiwa Pendidik kita sebagai guru.


4. Pada kali ini izinkan saya memberi fokus membincang lanjut AUTONOMI PROFESIONAL guru dan kenapa usaha membugarkannya perlu menjadi keutamaan.


5. Saya mula mengalami tekanan cabaran sebagai seorang guru apabila berpengalaman berasa sendirian tanpa ‘bantuan’ apabila mengajar murid luar bandar di sekolah yang menumpang bangunan sekolah lain. Pengalaman di PPD pula, saya bergelut dalam rutin pentadbiran dan tidak dapat memberikan ‘sokongan’ sewajarnya kepada sekolah. Pengalaman di Bahagian Latihan & Kurikulum JPN (sama seperti Sektor Akademik) menarik, kerana saya banyak terlibat dalam memberi ‘kursus & bengkel’ kepada pemimpin sekolah dan guru dalam penataran KBSR dan KBSM. Sejujurnya, dengan semua pengalaman tersebut, saya masih belum lagi mengungkapkan atau menamakan ‘bantuan, sokongan, kursus & bengkel’ berkenaan sebagai INPUT PROFESIONAL yang diperlukan untuk mengukuhkan Autonomi Profesional rakan guru.


6. Walau bagaimanapun pengalaman berkhidmat di KPM memberi saya peluang melihat secara MAKRO dan mendapat gambaran besar pendidikan bukan sahaja di Malaysia malah di negara-negara lain. Pengalaman ini banyak membantu saya mengaitkan antara perspektif MAKRO dan MIKRO. Justeru, saya dapat meletakkan semua pengalaman sebelumnya dalam perspektif yang lebih luas dan bermakna. Dari sudut pengurusan pendidikan saya berpendapat satu sahaja yang dapat mengaitkan dan dikongsi bersama antara perspektif makro dan mikro iaitu PELAKSANAAN. Oleh sebab itulah dalam pengurusan perubahan, kualiti pelaksanaan sentiasa menjadi faktor menentukan kejayaannya.


7. Apakah ‘lesson learned’ semua pengalaman di atas dan signifikannya terhadap Autonomi Profesional Guru? Untuk memahami konteksnya, saya mulakannya dengan analisis pengalaman di JPN, pengalaman menatarkan kurikulum baharu KBSR dan KBSM. Secara umumnya pendekatan yang digunakan sekian lama ialah penataran melalui kursus & bengkel secara CASCADING. Bermula dengan melatih ‘Kakitangan Sumber’ (KS) Negeri di PPK (Pusat Perkembangan Kurikulum) KPM selama dua minggu untuk setiap subjek. Seteruskan KS Negeri akan melatih guru-guru subjek (mewakili sekolah mereka) mengikut zon negeri berkenaan, selama seminggu. Penataran kurikululum berakhir dengan ‘Kursus Dalaman’ di peringkat sekolah apabila guru-guru (yang didedahkan dalam kursus & bengkel negeri) mendedahkannya pula kepada rakan-rakan guru mereka di sekolah. Berapakah tempoh pendedahannya? Bergantung kepada sekolah, pastinya tidak melebihi lima hari!


8. Penataran menggunakan pendekatan ‘cascading’ sudah tentu tidak dapat membantu guru menjadi kompeten sepenuhnya apabila menterjemahkan kurikulum baharu di dalam bilik darjah. Banyak isu yang timbul kerana pelaksanaannya bukan sahaja melibatkan soal kandungan baharu tetapi memerlukan perubahan pedagogi dan keperluan resos yang lain. Pemimpin sekolah dan guru-guru memerlukan sokongan terutama SOKONGAN PROFESIONAL untuk membantu mereka mengatasi cabaran BAGAIMANA melaksanakannya. Satu-satunya kelebihan penataran kurikulum baharu menggunakan pendekatan ‘cascading’ ialah pantas, ‘murah’ dan melibatkan semua sekolah. Walau bagaimanapun terpaksa berkrompomi tentang kualiti pelaksanaan.


9. Cabaran pelaksanaan kurikulum baharu ini semakin kompleks apabila Pejabat Pendidikan Daerah tidak dapat memberikan Sokongan Profesional yang diperlukan oleh sekolah dengan mencukupi. Pengalaman ketika menjadi Ketua PPD menyebabkan saya amat terasa struktur PPD terlalu cenderung kepada pentadbiran dan amat minimum bilangan kepakaran profesional pegawainya. Setiap hari bergelut dengan hal ehwal pentadbiran dan memenuhi keperluan acara rasmi dan ‘ceremonial’. Walau bagaimanapun pelbagai cara dilakukan oleh rakan PPD untuk menampung kekurangan tersebut untuk memberikan sokongan profesional kepada sekolah.


10. Menurut pendapat saya, salah satu ANDAIAN (generalisation?) kenapa pendekatan ‘cascading’ digunakan dalam penataran kurikulum baharu ialah kepercayaan bahawa guru-guru kita di sekolah adalah guru-guru yang telah dilatih. Oleh itu mereka mampu mengatasi cabaran ‘bagaimana’ menterjemahkan kurikulum baharu terutama berkaitan dengan pedagogi pengajaran-pembelajaran. Mereka profesional dan mempunyai ‘AUTORITI PROFESIONAL’! Walau bagaimanapun keadaan sebenar tidak semudah andaian tersebut. Bersambung . . .


11. Mungkin saya silap tetapi saya percaya kurangnya usaha kita membuktikan dan mengoptimumkan AUTONOMI PROFESIONAL inilah menyebabkan kita terperangkap dalam kitaran ‘rutin kerja pentadbiran’ yang tiada berkesudahan. – ‘Professional Autonomy must be earned not given!’ Perlu dibuktikan dengan keberkesanan perubahan pembelajaran murid yang dirangsang dengan perubahan pengajaran guru. Oleh sebab itu jangan biarkan rakan-rakan guru kita bersendirian melakukan perubahan – Sokongan Profesional perlu diperkayakan dan dimantapkan.

Comments


bottom of page